Thursday 23 June 2011

Terkena Lagi...

     Waktu  : Masa makan
     Lokasi  : Meja makan 

     Masa makan selalunya masa yang gamat untuk aku apatah lagi dengan kerenah anak kecilku yang ikut sama menyibukkan diri menyiapkan meja makan.  Apabila lauk semua telah terhidang, nasi sudah disenduk ke dalam pinggan, air minuman telah sedia di tuang di dalam gelas, bila tangan sudah bersih bercuci dan doa makan mula dibaca oleh anak sulungku, kami memulakan adegan makan malam.
    
     Anak kecil ku mula ikut menyudu lauk ke dalam pinggannya dan anak tengahku menyanyi kecil untuk melekakan adiknya yang sibuk dengan nyanyian lagu Sweet Charity.

     "Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil o....." Anakku berhenti di situ untuk memberi peluang adik kecilnya menyambung kesudahan lagu itu.

     Dengan yakin dan selamba, anak kecilku menjawab, "pet...."

     Aku tidak dapat menahan tawa.  Anak-anakku yang berdua juga gelak sama.  Manalah anak kecil 2 tahun tahu kesudahan lagu itu, apa yang dia tahu, apa yang biasa didengar dan sebut.  Memanglah anak kecilku tahu dan arif dengan perkataan OPET kerana telah menjadi peminat setia siri upin dan ipin. 

     "Hem... terkena lagi..."



    

Sunday 19 June 2011

"SELAMAT HARI ABAH"

    Teringat pada satu kenangan yang ditinggalkan oleh abah untuk.  Satu kenangan diantara beribu kenangan yang tertanam dalam taman hati saya.  Abah orangnya sangat baik, pentingkan agama, sangat jarang meninggikan suara walaupun sedang marah, suka membantu, bersuara bila perlu dan banyak lagi sikapnya yang menjadi kenangan kini.

    Salah satu kenangan yang abah tinggalkan ialah tulisan terakhir abah di papan hijau di bengkel tempatnya bekerja. Tulisan tangan abah baik dalam rumi atau jawi sangat teratur dan cantik walaupun abah tidak bersekolah tinggi.  Saya tidak membenarkan sesiapa pun mengusik apatah lagi memadam tulisan abah.

     Menjejakkan kaki di tanah abah seumpama berjalan dalam kenangan yang terus hidup dalam hati.  Kasih sayang dan pengorbanan abah tiada tolok bandingnya.  Ilmu yang abah bekalkan dahulu tetap saya gunakan dalam kehidupan seharian.  Tiada yang boleh mengganti tempat abah, tiada yang dapat menduduki tempat abah walau sekejap masa.

     Dalam kerinduan ini, izinkan saya membisikan kalimah ini, "SELAMAT HARI ABAH".

Friday 17 June 2011

Morib

     Setelah sekian lama menetap di negeri ini, baru tempohari berkesempatan mendatangi pantai Morib yang sering menjadi sebutan suatu masa dahulu.  Ramai para tetamu yang bertamu, dengan membawa agenda masing-masing.  Suara kanak-kanak yang keriangan bermain di taman permainan berbaur dengan suara orang dewasa yang bergelak tawa sesama mereka.  
    
     Sejujurnya, aku rindukan pantai di mana ombaknya berlari membawa sama jambangan buih putih, melihat senja jatuh di kaki langit yang bersih dan membiar bayu mengusap lembut pada wajah.

     Morib, biarlah impian menjadi igauan.

   

     .

    


    

Thursday 16 June 2011

Bulan oh Bulan

Malam tadi ada gerhana bulan tapi oleh kerana mendung sejak beberapa hari lepas, xnampak langsung bayang bulan. Bulan disembunyikan oleh awan mendung yang sarat dengan kelamnya.  Teringat satu scene filem Bujang Lapuk, P.Ramlee menyanyi di ambang tingkap berteman bulan (diwaktu malam, bulan mengambang...), lagu Dia nyanyian Sheila Majid (...o bulan, tolonglah .. ) dan sebuah filem kanak-kanak bertajuk Tentang Bulan.  Betapa bulan begitu rapat dalam kehidupan kita  biarpun terkadang, fizikalnya terlindung tidak kelihatan.

Wednesday 15 June 2011

Selamat Pengantin Baru

     Biasalah bila cuti sekolah, mulalah orang yang xsekolah lg sibuk mengatur acara. Acara paling top, kenduri kahwin. Peh! Adik aku pun joint the club.  Nak dijadikan lebih grand lagi, hujan turun mencurah-curah sehari sebelum majlis.  Xpe, kata hati aku.  Rezeki dari Allah... Padang rumput yang hijau depan rumah dah xnampak hijaunya. Khemah tetamu macam dah xterurus. Bila jengah tempat tukang masak, lagilah haru! Sikit lagi boleh buat tanam padi. Pakcik tukang masak tu punyalah sabar. 
     Tapi, syukur pada Allah kerana memberi kecerahan cuaca pada esoknya, pada hari majlis walaupun tanah masih basah, masih lecak, masih becak.  Ramai juga tetamu yang diundang hadir meraikan majlis gemilang adikku.  Xpe.. pas majlis selesai, acara lebih gemilang menanti adikku dan adik iparku... apa tak nya, periuk belanga kat belakang umah menanti untuk dimandikan oleh pengantin.  Keskeskes.....