Monday 10 December 2012

Dia

     "Kau nampaknya resah, mengapa?"
     Aku memalingkan wajah ke arah teman yang menyapa. Satu keluhan kecil kulepaskan. Singkat tetapi berat.
     "Ada masalahkah?"
     "Aku bermimpi semalam, pelik.."
     Ada tawa kecil yang menyambut,"ada-ada saja kau ini, mimpikan mainan tidur."
     "Tapi mimpi ini benar-benar mengganggu fikiranku. Aku sendiri tidak tahu mengapa.  Mimpi ini begitu terkesan di fikiran."
     "Ceritalah, aku mahu mendengarnya."
     Lalu aku ceritakan akan mimpi itu pada temanku ini, teman yang banyak mengetahui kisah-kisah lampauku. Teman yang setia berkongsi suka dan dukaku.
     "Sudah lama aku tidak bertemunya.  Rasanya sudah hampir 15 tahun dan sejak peristiwa itu, tidak pernah sekali dia datang dalam mimpiku tetapi kali ini, entahlah, tiba-tiba aku termimpikannya."
     "Mungkin dia teringatkan kau.."
     "Untuk apalah dia ingatkan aku, siapalah aku dalam hidupnya."
     "Mungkin dia ada sesuatu yang mahu dibicarakan, mungkin dia baru menyedari kesilapannya. Mana tahukan..."
     Kesilapan?  Meninggalkan aku dan berlari mendapatkan insan lain itu satu kesilapan?  Atau sikap mengalahku itu satu kesilapan.  Mungkin kesilapanku kerana seperti tidak bersungguh menjulang cinta.  Membiarkan dia berlalu pergi dahulu, kesilapanku juga?
     15 tahun dahulu, kami sama-sama muda. Penuh semangat membina hidup dan kerjaya. Bersama menjadi bahu tempat melepas lelah masalah. Aku masih lagi ingat wajahnya yang mencuka bila bercerita masalah di pejabat tetapi aku lebih mengingati senyum manisnya.  Manis senyuman itulah yang mengejutkan aku dari lena subuh tadi.
     Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh menyenangi dirinya.  Dia gadis sederhana, gadis sederhana yang biasa tetapi dalam sederhana itulah yang menambat hatiku dalam diam. Aku jadi rindu jika sehari tidak bertemu.  Aku jadi tidak keruan jika panggilanku tidak berjawab.  Aku jadi manusia yang terasing bila asyik memikirkannya.
     Salahkah aku tidak pernah menyatakan padanya, apa perasaanku, apa fikirku.  Semua kusimpan, semua kupendam.  Aku  bimbang akan kehilangan dia jika perasaanku terungkap dan dia tidak dapat menerima.  Aku tidak pernah berani berbicara tentang rasaku padanya biarpun dengan berkias.  Aku berlagak seolah aku sahabat sejati.  Sekadar teman tapi mesra.  Bukan calon suami tapi sekadar sahabat di hati.
     Bijak pandai berkata, jika kita benar menyinta, lepaskan dan jika benar cinta itu kepunyaan kita, pasti akan kembali mencari. Aku memang benar menyintai, aku telah melepaskannya pergi dan akhirnya dia benar-benar pergi dari hidupku. Seorang teman berkata, Allah tidak akan memberikan kita ujian jika merasakan hambanya tidak kuat menerima ujian itu lalu aku berusaha untuk pasrah dengan ketentuanNya.
     



 

Tuesday 27 March 2012

Puisi buat Batrisya Miza (26032012)

     Buat puteriku yang baru lahir
     Putih warnamu seputih kasihku
     Degupan jantungmu pemangkin semangatku.

     Bertahanlah wahai bulan comelku
     Moga cahaya sejahtera menaungi dirimu
     Bertahanlah wahai mentari manjaku
     Moga sinar rahmat memayungimu

     Bonda akan terus berdoa
     Moga segera puteri kembali
     Dalam dakapan bonda
    Dalam pelukan ayahnda.

Selamat Hari Lahir

Agak-agak, ada tak sesiapa yang tidak menyenangi hari lahirnya.  Hari berlaku satu sejarah bagi seseorang, hari dilahirkan ke dunia dengan selamat.  hari yang bahagia, hari yang ceria. tetapi telah menjadi lumrah alam, tarikh keramat itu sering dilupakan, tidak diendahkan, tidak perlu diraikan. Mungkin tidak penting bagi insan lain tetapi amat penting bagi diriku. Tidak perlu diraikan secara besaran cukup sekadar ucapan lisan atau bertulis, tanda ingatan diri dihargai.
     Kesibukan dia membuatkan dia lupa pada tarikh itu.  Aku cuba untuk memahami. Soalanku, cukupkan hanya aku yang perlu memahaminya sedangkan dia tidak mahu memahami diriku? Jawapannya, kita tidak perlu untuk megharapkan apa-apa dari apa yang kita beri. memberi dan memahami adalah proses panjang dalam kehidupan.
     Lalu kusambut hari lahir puteriku tanpa kehadirannya. Bersama dua lagi cahayamata dan lilin di atas kek yang kubuat khas, kami meraikannya.  Aku akan terus belajar memberi dan mamahami kerana ia penting untuk ke tiga2 cahayamataku.