Monday 10 December 2012

Dia

     "Kau nampaknya resah, mengapa?"
     Aku memalingkan wajah ke arah teman yang menyapa. Satu keluhan kecil kulepaskan. Singkat tetapi berat.
     "Ada masalahkah?"
     "Aku bermimpi semalam, pelik.."
     Ada tawa kecil yang menyambut,"ada-ada saja kau ini, mimpikan mainan tidur."
     "Tapi mimpi ini benar-benar mengganggu fikiranku. Aku sendiri tidak tahu mengapa.  Mimpi ini begitu terkesan di fikiran."
     "Ceritalah, aku mahu mendengarnya."
     Lalu aku ceritakan akan mimpi itu pada temanku ini, teman yang banyak mengetahui kisah-kisah lampauku. Teman yang setia berkongsi suka dan dukaku.
     "Sudah lama aku tidak bertemunya.  Rasanya sudah hampir 15 tahun dan sejak peristiwa itu, tidak pernah sekali dia datang dalam mimpiku tetapi kali ini, entahlah, tiba-tiba aku termimpikannya."
     "Mungkin dia teringatkan kau.."
     "Untuk apalah dia ingatkan aku, siapalah aku dalam hidupnya."
     "Mungkin dia ada sesuatu yang mahu dibicarakan, mungkin dia baru menyedari kesilapannya. Mana tahukan..."
     Kesilapan?  Meninggalkan aku dan berlari mendapatkan insan lain itu satu kesilapan?  Atau sikap mengalahku itu satu kesilapan.  Mungkin kesilapanku kerana seperti tidak bersungguh menjulang cinta.  Membiarkan dia berlalu pergi dahulu, kesilapanku juga?
     15 tahun dahulu, kami sama-sama muda. Penuh semangat membina hidup dan kerjaya. Bersama menjadi bahu tempat melepas lelah masalah. Aku masih lagi ingat wajahnya yang mencuka bila bercerita masalah di pejabat tetapi aku lebih mengingati senyum manisnya.  Manis senyuman itulah yang mengejutkan aku dari lena subuh tadi.
     Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh menyenangi dirinya.  Dia gadis sederhana, gadis sederhana yang biasa tetapi dalam sederhana itulah yang menambat hatiku dalam diam. Aku jadi rindu jika sehari tidak bertemu.  Aku jadi tidak keruan jika panggilanku tidak berjawab.  Aku jadi manusia yang terasing bila asyik memikirkannya.
     Salahkah aku tidak pernah menyatakan padanya, apa perasaanku, apa fikirku.  Semua kusimpan, semua kupendam.  Aku  bimbang akan kehilangan dia jika perasaanku terungkap dan dia tidak dapat menerima.  Aku tidak pernah berani berbicara tentang rasaku padanya biarpun dengan berkias.  Aku berlagak seolah aku sahabat sejati.  Sekadar teman tapi mesra.  Bukan calon suami tapi sekadar sahabat di hati.
     Bijak pandai berkata, jika kita benar menyinta, lepaskan dan jika benar cinta itu kepunyaan kita, pasti akan kembali mencari. Aku memang benar menyintai, aku telah melepaskannya pergi dan akhirnya dia benar-benar pergi dari hidupku. Seorang teman berkata, Allah tidak akan memberikan kita ujian jika merasakan hambanya tidak kuat menerima ujian itu lalu aku berusaha untuk pasrah dengan ketentuanNya.